Hanya JAKIM, JAIN keluar sijil halal
Oleh Nazura Ngah

2010/07/26
Pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 cadangkan hukuman lebih berat pihak ingkar

KUALA LUMPUR: Premis perniagaan yang menggunakan sijil halal selain dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bakal berdepan hukuman dua atau tiga kali ganda lebih berat berbanding hukuman sedia ada apabila pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 dibawa ke Parlimen, Oktober depan.

Peruntukan sedia ada akta berkenaan bagi kesalahan penipuan sijil dan logo halal menetapkan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pindaan itu memperuntukkan hanya JAKIM dan JAIN yang diberi kuasa mengeluarkan sijil dan logo halal, sekali gus syarikat swasta tidak lagi boleh berbuat demikian.
Katanya, pindaan juga memperuntukkan hanya produk import yang memiliki sijil halal daripada badan dunia perlu diiktiraf JAKIM sebelum dibenar memasuki pasaran negara ini.

Draf pindaan itu yang kini pada peringkat akhir akan dikemukakan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat sebelum dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna mendesak kerajaan membentangkan segera rang undang-undang Akta Halal di Parlimen bagi memperkemas, menguatkuasa dan mempertingkatkan keberkesanan pelaksanaan peraturan halal di negara ini.

Mereka juga mahu akta itu menjelaskan peranan JAKIM sebagai satu-satunya organisasi yang berhak memberikan pensijilan halal selain memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa agama negeri untuk menjalankan tugas penguatkuasaan.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata ketiadaan Akta Halal menyebabkan isu penyalahgunaan dan ketiadaan sijil halal berlarutan kerana akta sedia ada termasuk Akta Perihal Dagangan 1972 tidak memadai untuk mengatasi masalah itu.

PPIM juga mahu Setiausaha Majlis Raja-Raja melihat isu halal sebagai agenda penting untuk dibawa dan dibincang dalam mesyuarat majlis berkenaan.

Katanya, sudah tiba masa JAKIM dinaik taraf sebagai kementerian bagi memperluaskan peranannya, selain mempunyai peruntukan lebih besar untuk melantik lebih ramai kakitangan dan memiliki peralatan dan teknologi canggih, termasuk makmal pemprosesan yang boleh memuktamadkan ujian kandungan bahan dalam produk makanan.

PPIM kecewa kerana negara yang sudah merdeka lebih 50 tahun belum memiliki Akta Halal sedangkan beberapa akta berkaitan makanan termasuk Akta Kawalan Mutu Makanan 1985 wujud sejak berpuluh tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata dengan kesedaran kepenggunaan yang masih rendah iaitu pada paras 58 peratus, wajar Akta Halal dibentangkan dengan segera bagi memastikan kebajikan pengguna Islam terjamin.

Sementara menunggu rang undang-undang Akta Halal dibentangkan di Parlimen, pengguna boleh mengguna hak dan kuasa mereka untuk memberi tekanan kepada pengusaha yang masih berdegil dan belum memiliki sijil halal JAKIM supaya berbuat demikian, katanya.

About the Author razorjr

Research and Academician

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s