Assalammualaikum,
Alhamdulillah, kita sudah berada di hari keempat bulan Ramadhan yang mulia ini. Bagi orang-orang yang benar memanfaatkannya, kalau boleh Ramadhan ini merupakan bulan yang panjang dan lama bagi mereka. Amat rugi bagi sesiapa yang merasakan susah di bulan ini. Sesungguhnya, bulan Ramadhan ini tersangat mulia dan peluang untuk kita menghapuskan dosa-dosa kita dan meninggalkan perkara-perkara yang dahulunya membiarkan kita hanyut dalam keduniaan.
Kali ini saya lebih suka berbincang mengenai perihal dunia ini adalah semata-mata platform untuk kita berjaya di akhirat kelak. Segala yang berlaku di dunia ini, merupakan ujian Allah S.W.T. samada baik atau buruk, perlu kita tempuhi bersama-sama.
Sebagai contoh, sebagai seorang pensyarah, saya perlu melaksanakan tugas-tugas yang dikemukakan kepada saya. Contohnya, seperti menulis kertas kerja, menjalankan penyelidikan, mengajar dan terlibat dalam hal-hal pentadbiran dan juga tugas-tugas lain. Tetapi jangan dilupakan tugas utama adalah untuk berbakti kepada Allah S.W.T. agar apa yang kita buat ini mendatangkan manfaat untuk kita kelak.
Jika kita lihat dunia pada hari ini, makin hari makin kejam. Dengan pelbagai masalah dunia dan juga kes-kes jenayah yang berat semakin bertambah-tambah. Bukankah kita ada hukum Allah? Ramai ulama2 telah mengulas berkaitan undang-undang yang ada dan undang-undang Islam. Anda boleh merujuk dengan ustaz-ustaz dan juga ulama-ulama sekeliling anda dan bertanyakan kepada mereka.
Selain itu, saya juga tidak faham kenapa terdapat ramai segelintir ingin meniru gaya barat yang bukan-bukan. Jika mengambil yang baik tidak mengapa, tetapi mengambil pula yang tidak baik. Contohnya seperti bergaya lebih-lebihan yang tidak mengikut syariat Islam yang dibenarkan, mengamalkan rasuah dan pelbagai lagi perkara-perkara yang lain. Boleh untuk kita mengambil iktibar dan perkara yang baik seperti berhenti ketika penjalan kaki melintas di garisan kuning, dan pelbagai jenis contoh yang lain (walaupun di Malaysia amat jarang berlaku kereta berhenti melintas ketika pejalan kaki ingin melintas).
Pada pendapat saya juga, kita boleh bersuara jika sesuatu itu kita tidak jelas dan juga diberi alasan yang remeh. Tidak boleh dengan sekadar kita memberi kata jawapan tidak tanpa alasan yang kukuh. Disamping itu juga, pihak yang menerima alasan tersebut harus faham dengan sebenar-benarnya alasan tersebut dan tidak terus menidakkan seseorang itu. Disebabkan itu, contoh terbaik adalah dengan berbincang dan bukan sekadar surat (walaupun hakikatnya agak susah untuk perkara ini berlaku disebabkan kekangan kakitangan dan juga orang). Tetapi itulah yang disyorkan. Surat tidak akan menjamin dan juga memberitahu perasaan seseorang itu samada jujur atau tidak. Saya lebih suka jika perkara tersebut dibawa bincanag sekiranya alasan tersebut ada salah satu pihak tidak dapat menerimanya dan berjumpa untuk kepastian. Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua haruslah memainkan peranan tidak mengaibkan antara satu sama lain dan berbincang dengan penuh ketakwaan dan juga mengharapkan keredhaan dan keampunan dari Allah S.W.T. jika berlaku kesilapan.
Oleh itu, jadilah diri anda yang sebenarnya dan boleh ditambahkan dengan unsur2 kebaikan yang ada pada orang lain untuk diri kita. Sekiranya baik kita ambil dan improve. Sebagai contoh, jika individu A seorang yang suka menepati waktu walaupun dia kuat makan dan bermewah-mewah (dengan menunjuk-nunjuk), maka kita boleh contoh cara dia menepati waktu tersebut. Apa yang saya hendak tekankan di sini adalah perlunya kita mengambil apa yang baik dan meninggalkan apa yang buruk. Tidak semestinya kita mengagumi/menerima pendapat seseorang itu dengan 100% walaupun sebahagian orang selalu memandang kita serong jika menyokong sesetengah pendapat individu lain yang mereka tidak suka.
Selain itu, sebarang teguran yang dibuat haruslah dimulakan dengan cuba menegur secara baik dahulu. Selain kanak2, orang dewasa juga mungkin secara sengaja atau tidak sengaja membuat kesilapan. Cuba kita menegur mereka dengan cara yang paling disenangi oleh mereka, menegur secara berkawan dan berseloroh juga mungkin diperlukan tanpa perlu direct kepada mereka. Mungkin dengan mengajak ke majlis berbuka puasa dan setelah mereka menyenangi dengan kita, maka bolehlah kita tegur secara berhemah. Terpulang kepada individu-individu untuk menegur bagaimana asalkan kita tidak mengugut mereka dengan kata-kata yang menguris jiwa dan perasaan. Selama ini mungkin seseorang itu tidak sedar ianya silap, tetapi apabila kita menegur buat kali pertama, lakukanlah dengan berhemah dan baik. Tidak perlu disertakan tindakan dan cukup dengan mengatakan contohnya “Di masa hadapan, sebaiknya hendaklah engkau cuba membuat sebegini, dan sebegitu, ianya lebih baik dan bagus”. Jadi, tidak perlu mengugut dan jika boleh terangkan jika sesuatu itu salah disisi peraturan dan sebagainya. Buat secara berhemah.
Cukup setakat ini, maka selamat berpuasa kepada anda semua 🙂
August 05, 2011 5.06 am Friday