Assalammualaikum,
Saya hendak mulakan artikel ini dengan satu surah:-
“Mereka yang mensia-siakan solat dan mengikuti hawa nafsu kepada kejahatan, maka tetaplah mereka jatuh ke dalam satu telaga api neraka.” (Surah Maryam, ayat 59).
Daripada surah diatas, kita dapat melihat bahawa sebenarnya solat itu merupakan satu perkara yang fardhu keatas kita dan wajib dilaksanakan. Ada pelbagai lagi surah-surah Al-Quran menerangkan kepentingan solat dan bagaimana solat itu adalah selepas mengucap dua kalimah syahadah.
Jika sebanyak mana pun amalan sedekah anda, sebaik mana pun anda, seikhlas mana pun anda, amalan anda tetap tidak akan diterima jika tidak bersolat. Rujuk artikel di laman berkaitan perihal solat yang dijawab oleh Rasulullah ketika ditanya mengenai solat oleh sahabatnya.
Laman 1 – http://halaqah.net/v10/index.php?topic=12459.0
atau Laman saya Perbincangan Islam
Apa kaitannya dengan membuat pilihan iaitu tajuk artikel kita kali ini? dengan solat?
Sebenarnya, kita sudah diberi pilihan dalam kehidupan ini samada untuk mengerjakan solat atau tidak. Tetapi ada sebahagian manusia masih lagi membuat pilihan agar memilih untuk meringankan solat atau tidak mengerjakan solat langsung.
Tahukah anda, jika anda selama ini, contohnya sudah 4 tahun tidak solat dan akhirnya insaf, anda harus QADA kesemua solat tersebut dengan semangat membara. Jika 10 tahun bagaimana? Jika 20 tahun bagaimana? Anda mesti berusaha untuk QADA balik sehinggalah selesai atau ajal menjemput anda terlebih dahulu. InsyaAllah usaha anda menqadakan solat itu akan dipandang Allah walaupun tidak lengkap ketika ajal menjemput anda. Tetapi jika anda bertaubat dan bersolat tetapi tidak bersungguh-sungguh menqadakan solat-solat yang telah lama tertinggal. Saya tidak tahu apa balasan menanti anda pula.
“Apabila selesai menunaikan solat baginda bersabda: “Barang siapa yang melupai solat maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat. Sesungguhnya Allah berfirman yang bermaksud: “ Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, Sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku.” (Tahaa:14 ), (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm: 227).”
Bermaksud, anda harus bertaubat dengan cara menqadakan sebanyak mungkin solat yang anda telah tertinggal. Sebab anda meninggalkannya dengan keadaan malas, tidak insaf, tidak lupa.
Bayangkan ketika anda sihat, anda tidak langsung ingat untuk solat. Sedangkan anda kuat, sihat, bertenaga, menghabiskan masa dengan perbuatan sia-sia. Ingatlah, sebaik mana pun anda, anda tidak solat, semua amalan anda tidak diterima oleh Allah S.W.T. Ini saya dapati hasil daripada ceramah-ceramah yang saya ikuti selama ini.
Berbalik kepada soal membuat pilihan
Kenapakah manusia cenderung membuat pilihan yang kadang-kadang dianggap tidak cerdik?
Mereka nampak kejahatan dihadapan tetapi tidak mempunyai keberanian menegur.
Orang atasan mengamalkan rasuah tetapi tidak ditegur kerana khuatir hilang punca rezeki.
Sedangkan dia pun dianggap bersubahat kerana tidak mencegahnya dengan melaporkan kepada pihak berwajib.
Sama seperti kita dalam membeli sesuatu barangan. Kita memilih barangan A dan tidak barangan B. Bermaksud, kita sudah membuat perbandingan antara perkara baik dan buruk. Sudah pasti kita memilih barangan yang baik bagi kita. Tetapi kenapa kita tidak memilih yang baik dalam soal halal dan haram atau sumber rezeki halal dan haram?
Dalam soal keibubapaan, kenapa kita ada dikalangan kita sanggup membelakangkan ibubapa kerana sudah dianggap kawan lebih kenal kita berbanding ibubapa. Sedangkan ibubapa lagi kenal kita sebab sejak lahir hingga besar ibubapa membesarkan kita. Ingatlah, selagi ibubapa tidak menghalalkan anda disebabkan anda membelakangkan keputusan ibubapa anda, anda tidak akan berada dilandasan yang benar. Inilah yang berlaku dalam jiwa muda-mudi kita sebahagiannya dalam kehidupan hari ini.
Dari Abdullah bin Amr ia berkata : Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), yakni bila seseorang mencela kedua orang tuanya.” Mereka para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, mungkinkah seseorang mencela kedua orang tuanya?” Beliau (saw) menjawab: “Ya, bila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan mencaci bapanya. Dan bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan mencaci ibunya.” [1824] (Hasan Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Anda harus ingat, anda perlu berhati-hati dalam membuat pilihan yang betul semasa di dunia ini. Membelakangkan agama dan mengutamakan dunia adalah perbuatan sia-sia.
Letakkan kepentingan agama mendahului segala kepentingan akhirat terlebih dahulu. Sebagaimana soal zuhud, Zuhud bukan bererti jadi miskin, tetapi bermaksud mengambil segala isi di dunia ini dan menggunakannya untuk kepentingan akhirat. Bukan duduk di bawah jambatan dan sebagainya, sebaliknya jadilah kaya dan boleh sumbang kepada fakir miskin dan sebagainya. Abdul Rahman Bin Auf dan Saidina Abu Bakar merupakan golongan yang kaya, dan antara paling zuhud dikalangan sahabat dengan harta kekayaannya, boleh berbakti kepada Islam.
Waallahualam
January 08, 2012 – Sunday – 12.29 tengah hari