Assalammualaikum,
Sebenarnya, hampir 1 tahun setengah sudah website ini (yang pada awalnya blog sahaja) berada di alam internet ini dan sudah 2 tahun rasanya saya terlibat dalam penulisan di blog.
Adapun tujuan saya menulis blog ini bukan niat saya untuk mencari orang agar “follow” saya tetapi secara kecil-kecilan agar pelajar-pelajar saya atau rakan-rakan saya yang ada masa lapang untuk menghiburkan diri di samping ada pelbagai lagi bahagian dalam website saya ini seperti nota-nota berkaitan matematik dan juga sedikit sebanyak info berkaitan pengajaran saya di universiti.
Tetapi, saya juga sarankan anda yang ingin memblog agar menggunakan blogspot di mana anda boleh meletakkan iklan-iklan dan memperoleh pendapatan darinya. Saya alhamdulillah cukup dengan pendapatan saya dan saya merasakan perlu saya menyumbangkan “pendapatan” saya itu selaku staf akademik di salah sebuah IPTA di Malaysia ini secara penulisan dan idea serta artikel untuk dikongsi bersama.
Bagi saya, orang muda perlu tahu apa yang berlaku atau senario sebenar dunia orang dewasa ini. Rasanya tidak boleh ada lagi soal yang pernah dibangkitkan oleh orang-orang tua terdahulu seperti
“kau muda lagi, tak perlu tahu soal orang tua”
“biar orang-orang tua buat keputusan”
dan sebagainya
Bagi saya, Nabi Muhammad S.A.W. sendiri menghantar pemuda berusia belasan tahun untuk berdakwah di Madinah. Maka kita di zaman baru di mana pemuda harus tahu apa yang berlaku dan terlibat dalam membuat keputusan penting.
Inilah masanya untuk memastikan terlahirnya generasi Salahuddin Al-Ayubi, pemuda yang mampu menawan Kota hebat ketika itu.
Maka, generasi baru diperlukan dan semakin mereka didedahkan dengan pelbagai perkara, semakin mereka matang dengan cepatnya dan idea dapat dikembangkan dengan pesat.
Saya kalau boleh hendak generasi yang lagi muda ini aktif dan berdaya saing dan mampu mengalahkan orang yang tua. Jika kelak saya berumur 40 atau 50 tahun, saya mahu generasi umur 20-an ini lebih mempunyai idea yang tersangat bagus berbanding saya yang sudah separuh abad ketika itu.
Berbalik kepada soal menulis di blog ini, kita sudah nampak semakin banyak golongan muda muncul dengan buah fikiran masing-masing.
Negara maju adalah seperti ini, di mana Islam memainkan peranan penting dalam perkembangan minda remaja-remaja dan membolehkan mereka mempunyai semangat yang kental seawal usia belasan tahun.
Cuba anda lihat sekarang, yang memegang PhD sudah yang berumur 25 tahun berbanding 20 tahun yang lalu di mana usia yang tua sedikit seperti 30 tahun lebih baru mempunyai PhD. Mungkin rekod ini akan dipecah lagi pada masa akan datang. Dimana kita mungkin mempunyai Professor seawal 30 tahun pula. Tetapi bukan Professor yang kita kejar, tetapi kualiti penerbitan yang bagus dan penyelidikan yang berkualiti.
Maka, kita lihat sini, kita tidak boleh nafikan orang muda sekarang diperlukan untuk masa depan yang bagus. Jangan dinafikan hak mereka untuk menjadi generasi baru yang berfikiran Islamik serta moden.
Saya sendiri mengharapkan pelajar-pelajar saya menjadi lebih hebat daripada saya dan mampu berhujah dengan baiknya mengatasi saya. Saya hendak mereka berfikiran terbuka dan seluas-luasnya dalam pelajaran tanpa sebarang rasa takut.
Mereka ini kelak pemimpin negara dan juga orang-orang yang berada di pucuk pimpinan negara.
Pada umur 70 ke 80 tahun, kekuatan fizikal yang semakin lemah membuatkan kita tidak dapat aktif seperti yang muda. Bayangkan orang muda yang mempunyai fikiran yang bagus dan keadaan fizikal yang mantap untuk menjadi pemimpin. Hanya orang muda tahu apa yang orang muda hendak. Sebab itu saya sendiri merasa bosan apabila melihat setiap video berkaitan semangat kenegaraan yang dikeluarkan ditelevisyen amat membosankan dan tiada langsung kualiti. Saya boleh bagi rating 0.5/5 sahaja.
Maka sudah tiba generasi muda yang dahagakan pembaharuan diperlukan dalam dunia ini. keuapayaan mereka setiap keturunan akan bertambah bagus dan bagus. Generasi remaja tahun 2000 adalah berlainan dengan remaja tahun 2020, remaja tahun 1980 adalah berlainan dengan remaja tahun 2010. Tidak mungkin sama dan mustahil. Dahulu remaja tahun 1980 tiada telefon bimbit, IPad 2, Iphone 4s, internet berkelajuan tinggi. Tetapi remaja tahun 2012 sudah ada semua tersebut. begitu juga dengan remaja tahun 2030 nanti, semuanya akan lain dan permintaan juga lain.
Yang tua pada tahun 2030 tidak boleh lagi mengimplementasi kaedah seperti remaja tahun 1980 kerana sudah lain generasinya.
Sekadar pandangan saya.
January 23, 2012 – 2.55 petang – Isnin (Happy Chinese New Year)