Assalammualaikum,
Bermula dari bayi, kita belajar cara-cara merangkak dan memerlukan pertolongan orang dewasa untuk membesar
Samada baik atau buruk didikan oleh orang tua kita, itulah yang kita jadi sekarang ini.
Pada mulanya tiada anasir luar terlibat, hanya ibubapa kita dan juga keluarga-keluarga terdekat.
Kemudian kita dihantar ke sekolah dan kita mula mengenal masyarakat yang lain daripada kita.
Mereka juga begitu, tidak pernah melihat rakan-rakan yang lain kecuali anak-anak saudara serta anak-anak jiran yang lain
Kemudian apabila besar sedikit kita mula mengenal rakan-rakan yang baru disebabkan kita berpindah
Maka sedikit sebanyak masyarakat sekeliling kita bertambah besar
Kemudian kita melalui zaman remaja, zaman mencari pekerjaan dan berkahwin
Kita kemudian mengumpul duit membeli rumah, kereta, dan cuba membahagiakan keluarga kita
Bermula daripada hanya dua orang sahaja iaitu kita dan isteri/suami, maka kita berdoa agar dikurniakan rezeki iaitu anak-anak yang soleh dan solehah
Kemudian, saban tahun lahirlah anak berkat daripada doa dan usaha kita. Kita bersyukur kepada Allah S.W.T.
Rumah kita semakin sempit dan direnovatekan untuk menampung anak-anak
Kemudian mereka pula membesar dan akhirnya satu persatu telah mempunyai isteri/suami dan mereka sendiri mempunyai rumah. Hanya pulang sekali sekala sahaja
Dirumah kita, bermula daripada dua orang, akhirnya mungkin menjadi dua orang juga. Kelak, kita sendiri tidak dapat memandu dengan sempurna walaupun duit kita melimpah ruah
Mata sudah menjadi kabur ataupun sudah tidak berdaya menahan diri untuk memandu lama-lama jika tidak mengamalkan kehidupan sihat.
Motif
Jadi, apa motif sebenarnya yang saya hendak tulis ini?
Sebenarnya, kita boleh mengelakkan perkara itu berlaku, iaitu menjadi sunyi ketika di usia tua.
Jika kita meluangkan masa lebih banyak dengan keluarga, kita akan mendapati bahawa keluarga itu yang paling penting dan bukannya wang ringgit.
Kita juga akan mendapati bahawa kesihatan yang baik itu penting dan betapa ruginya anda jika tidak berjogging dan bersenam. Cuba anda lihat orang-orang luar atau mat salleh-mat salleh yang mampu menaiki kapal terbang, bersenam pada usia 70. Suatu yang jarang berlaku pada komuniti kita.
Selain itu, aktiflah di masjid-masjid dan juga persatuan-persatuan. Maka sudah pastilah hidup anda tidak sunyi.
Anda juga perlu sentiasa menyambung silatulrahim. rapatkan hubungan sesama jiran dan berbaik-baik dengan semua orang. Buang semua rasa tamak dan dengki dengan sesiapa pun.
Jagalah keluarga, jiran-jiran dan sesama Islam kita. Janganlah bermusuh antara satu sama lain.
Selain itu, tajamkan fikiran dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan membaca Al-Quran. InsyaAllah, ingatan dan daya pemikiran kita akan sentiasa tajam sehingga akhir hayat kita.