The Time Traveller’s Wife : Unsur nasihat yang ada

Assalammualaikum,

Walaupun saya baru pertama kali tengok cerita ini, saya rasa ada unsur penasihatan di dalamnya. Bahkan Allah S.W.T. awal-awal menerangkan di dalam Al-Quran yang kita tidak akan langsung tahu sebarang perkara berkaitan masa hadapan kita.

Mengapa Allah S.W.T. merahsiakan daripada kita sebarang takdir dan menggalakan kita berusaha dan berdoa kepadaNya?

Cuba anda fikir, jika anda tahu tarikh bila anda mendapat ijazah PhD, pastinya anda tidak perlu berusaha keras kerana anda pasti anda akan dapat juga tanpa sebarang syarat. Bayangkan betapa tidak logiknya anda tidak berusaha tetapi mendapat PhD?dunia pasti tunggang terbalik

Sama seperti tarikh kematian setiap individu. Jika semua orang tahu, akibatnya majoritinya masing-masing akan berfoya-foya terlebih dahulu sebelum bertaubat nasuha pada kemudian harinya. Bahkan mungkin ada satu negara khas untuk bertaubat sebelum menghadapi kematian dan yang lain negara adalah untuk bersuka ria.

Sama seperti soal kemiskinan dan kekayaan. Tidak guna berusaha juga kerana pasti akan kaya dan pasti akan miskin. Yang tertindas akan terus tertindas dan seterusnya.

Soal kesihatan juga tidak perlu risau, boleh makan apa sahaja kerana tahu sepanjang usianya tidak akan sakit dan oleh itu boleh makan apa sahaja.

Apakah yang berlaku sebenarnya?

Ketidaklogikan akal dan dunia jika semua mengetahui masa hadapan masing. Sebab itu tilikan nasib dan apa jua kaedah horoskop ke apa ke diharamkan sama sekali kerana ianya menyebabkan kita dalam kemurungan dan boleh jatuh syirik!

Maka, dengan ini, dinasihatkan kita agar bertakwa kepada Allah kerana Allah telah menyelamatkan kita daripada mengetahui rahsia kita sendiri. Betapa besarnya kurniaan Allah ini kepada kita agar kita dapat mengharungi hidup tanpa sebarang tekanan dan mampu berusaha ke tahap yang lebih baik.

Sesungguhnya, kurnia Allah kepada kita tak terkira banyaknya.bersyukurlah

november 6, 2011 – 8.14 malam – ahad

Salam Aidiladha daripada asyrani.com

Assalammualaikum,

Saya dan isteri serta keluarga-keluarga saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam sekalian. Semoga bagi yang sedang menunaikan haji itu, selamat menjalani ibadah haji dan selamat pulang dengan mendapat haji mabrur, insyaAllah.

Kepada yang bakal pergi menunaikan haji kelak juga, diucapkan selamat membuat persiapan ke arah tersebut dan kepada semua yang sememangnya bercita-cita mahu menunaikan ibadah haji kelak, doa dan usahalah sebaik mungkin supaya kita juga akan ke Mekah juga hendaknya.

Kepada pelajar-pelajar saya, ingatlah pengorbanan ibu dan bapa anda dalam mendidik dan membesarkan anda. Sebab anda berada diuniversiti adalah bukti ibu bapa anda telah berjaya bertungkus lumus lebih 17 tahun untuk memastikan anda masuk ke universiti. Oleh itu, patuhi segala arahan ibubapa anda yang baik untuk kesejahteraan hidup anda. Anda juga suatu hari nanti akan jadi ibu atau bapa juga, oleh itu, proses pusingan ini akan berterusan dan hargailah jasa mereka.

ahad, november 6 2011, 7.53 pagi

Maaf saya terlewat/lewat

Assalammualaikum,

Kali ini saya hendak berbicara mengenai perihal terlewat.

Sebenarnya ada dua sebab utama kita terlewat, samada kita sengaja atau tidak sengaja. Bahkan ada sengaja yang diperlukan dan ada tidak sengaja yang tidak diperlukan. Kita bincang perihalnya.

Sengaja terlewat disebabkan faktor malas dan memang berniat untuk terlewat – Seperti yang kita sedia maklum, kategori ini sememangnya disebabkan oleh individu terbabit yang bosan dan juga tidak mahu datang ke kelas atau ke tempat kerja disebabkan faktor-faktor seperti memang malas bekerja dan juga tidak begitu produktif. Sememangnya manusia tidak semuanya sempurna dan oleh itu terlewat seperti ini yang kita tidak mahu berada dalam organisasi kita kerana mereka ini membebankan sahaja.

Sengaja terlewat disebabkan faktor hebat atau rajin – Kategori ini disebabkan individu ini sememangnya rajin tetapi disebabkan ada tawaran lebih baik atau “nothing to lose”  atau tiada kerja yang boleh dibuat, maka sengaja datang lewat. Antaranya:-

  • Mereka ini mungkin mendapat tawaran kerja di tempat lain dan oleh itu memandangkan akan berhenti dalam tempoh sebulan, maka dibuat kerja sambil lewa serta datang lewat ke tempat kerja. Sebab projek pun mungkin sudah tamat dan bos tak mungkin bagi projek baru disebabkan dia ini akan berhenti tidak lama lagi. Just kerja-kerja sampingan sahaja kot.
  • Bagi pelajar pula, mungkin pelajar ini anak kepada orang kaya atau ada perniagaan baru yang dijalankan, maka yang penting cukup syarat sahaja. Datang ke kelas lewat dan markah juga sekadar cukup makan. Yang penting mereka ini dapat Sarjana Muda tersebut sudah cukup sebagai lesen dan cukup mencari ilmu itu. Mereka kejar ilmu perniagaan dan menganggap Sarjana Muda ini sebagai suatu ilmu sampingan yang hendak dipelajari.
  • Selain itu, ada yang sengaja terlewat atau sengaja lewat (saya fikir seperti sama tetapi bagi saya, rasanya terlewat bermaksud tanpa sedar dan lewat adalah dilakukan dengan sedar) datang ke tempat kerja/kuliah disebabkan kerja semua sudah disiapkan atau sememangnya pelajar ini atau pekerja ini terlalu hebat. Bayangkanlah, apa yang pensyarah tanya dia boleh jawab dan apa yang bos bagi dibuatnya tatkala ketika itu juga dan hasilnya juga bagus. Mereka ini golongan genius yang para pensyarah atau bos perlu bagi kelonggaran kepada mereka disebabkan mereka ini digelar sebagai “orang super” yang dikurniakan Allah suatu bentuk tahap kepandaian tetapi dengan sedikit ketidaksempurnaan iaitu susah nak datang “on the spot”. Oleh itu maafkanlah mereka, yang penting hasil kerja mereka bermutu dan tidak lari dari pekerjaan. Bagi mereka special treatment disebabkan mereka ini berpotensi tinggi. Walaupun ada yang mengatakan tidak adil tetapi jelaskan kepada mereka, jika potensi mereka sememangnya luar biasa seperti individu “orang super” ini, maka kita boleh bagi kebenaran. Maka, para pembaca sekalian, akuilah yang mereka hebat berbanding anda dan anda patut bersyukur mendapat “orang super” dikalangan orang Islam kita ini. Walaupun sering terlewat datang ke kelas/tempat kerja.

Sengaja Terlewat disebabkan tidak suka sesuatu keadaan – Bayangkan anda sememangnya sengaja melewatkan datang ke tempat kerja atau kuliah disebabkan ada sesuatu yang tidak kena pada hari tersebut. Mungkin pada hari Isnin, anda terlalu letih akibat baru pulang dari kampung pada semalamnya dan memang berniat untuk lewat. Atau anda tidak suka kerja pada minggu pertama pada setiap bulan disebabkan perlu berkerja shif malam dari pukul 7 malam hingga 7 pagi. Bagi para pelajar pula, disebabkan tidak faham dengan pensyarah tersebut, maka datang lewat untuk menunjukkan tanda protes. Maka pensyarah perlu tengok kembali mengapa mereka lewat. Tidak perlu menuding jari, mereka lewat mungkin disebabkan anda sendiri yang mengajar tidak betul. Saya suka menyalahkan diri saya sendiri berbanding orang lain pada masa-masa tertentu kerana ianya akan membantu akan memaksimumkan potensi kerja dan mutu kualiti serta pengajaran diri saya sendiri.

Tidak sengaja terlewat disebabkan masalah tidur/terlupa – sememangnya ada golongan yang buat-buat lupa atau sengaja lupa yang menyebabkan mereka terlewat ke kuliah/tempat kerja. Sebagai contoh, jika individu A tidur lebih awal, mungkin A tidak akan terlewat ke tempat kerja/kuliah. Tetapi disebabkan A sengaja tidur lewat, maka A telah terlewat ke tempat kerja/kuliah. Ada juga faktor A tidak sengaja tertidur lewat. Maklumlah kerja terlalu banyak dan lupa tengok jam pukul berapa dan terlelaplah atas meja hingga terlewat ke kelas. Ini sesuai bagi seorang pelajar. Katakan kelas pukul 4 petang, kemudian lepas solat zohor ingat nak buat kerja sekejap, maka dibuatnya kerja sehingga terlupa waktu sudah pukul 3.30 petang dan akhirnya terlelap dan terlewat ke kelas. Tetapi ada yang tidak sengaja terlewat disebabkan sengaja melewatkan waktu berehat petang. Walaupun tahu jam sudah pukul 3.30 petang tetapi tetap tidur juga dan tidak bersiap untuk ke kelas. Maka memangnya terlewat ke kelas jika bangun lewat, tetapi disebabkan sengaja tidur lewat.

Tidak sengaja terlewat disebabkan faktor persekitaran – Kadang-kadang hendak ke tempat kerja sudah bertolak awal mungkin, maka dinaiknya Komuter dan dengan izin Allah tersadai pula Komuter tersebut selama 2 jam tanpa sebarang bantuan sebelum Komuter dapat bergerak semula. Komuter pukul 6 pagi katakan, jadi kalau dah dua jam sudah jadi pukul 8 pagi. Terlewatlah beberapa minit walaupun sebelum ini sentiasa sampai awal. Sama seperti kereta, kereta sudah elok diservis dan sebagainya, tetapi tiba-tiba kereta meragam dan lambat pula ke kuliah. Faktor2 ini harus diambil kira. Takkan mereka perlukan kebenaran bertulis untuk membuktikan mereka lewat. Kadang-kadang kejadian berlaku kerap dan tidak kira walaupun seawal mana pun anda bertolak, kejadian tetap berlaku dan sebagai seorang bos atau pensyarah, harus tahu dan fahami masalah mereka. Biarkan mereka terangkan walaupun kejadian sudah berulang kali terjadi. Jangan sentiasa menghentam mereka sahaja tanpa usul periksa.

Itulah penerangan serba ringkas mengenai perihal kehidupan kita yang seringkali berlaku. Tak mungkin semua orang sentiasa tiba pada masa yang tepat kerana manusia itu tidak sempurna. Yang penting teruskan berusaha dan bersikap jujur memberitahu segala masalah yang boleh dikongsi untuk kebenaran. Membiarkan fitnah berleluasa adalah salah sebenarnya. Kita sendiri tidak boleh membiarkan orang lain menfitnah kita dan tanggungjawab kita memperbetulkannya. Bagi saya adalah salah kita mengatakan “biarlah mereka buat fitnah kepada aku, mereka yang berdosa”. Maka seeloknya kita terangkan semampu mungkin untuk mengatasi fitnah tersebut. Dan ampunkanlah dosa mereka kerana melakukan fitnah. Biarlah dihina di dunia tetapi diakhirat kita selamat. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan langsung.

November 5, 2011 – 10.33 AM – Sabtu

Selamat Hari Raya Haji kepada anda semua terutamanya kepada mereka yang terlibat dalam mengerjakan ibadah haji tahun ini.