Sistem Kapatalis Barat

Assalammualaikum,

Sebelum anda membaca tulisan dan pendapat saya ini, mohon anda muat turun fail ini -> Kapatalisme

Seperti yang sedia maklum sistem kapatalisme telah lama bertapak di dunia dan ianya merupakan satu sistem yang ada baik dan ada yang buruknya.

Tetapi saya suka menyentuh dari pelbagai aspek kebaikan dan keburukan sistem kapatalisme ini.

Pertama – ianya membolehkan ramai orang mendapat pekerjaan dan dapat menyara kehidupan dengan lebih berkesan. Mereka boleh bekerja dan mempunyai wang untuk menyara keluarga.

Kedua- Sistem sosial juga bertambah baik kerana semakin banyak pekerja disuatu syarikat tersebut, maka makin banyak kesatuan sekerja diwujudkan dan komuniti akan terbentuk di satu-satu kawasan. Bayangkan ada berpuluh-puluh syarikat pada suatu tempat, maka pastilah tempat-tempat kediaman juga membiak dengan banyaknya dan membolehkan sistem sosial bergerak

Ketiga – Sistem sosial yang stabil membolehkan mereka ini dapat berhimpun pada masa-masa lapang mereka dan secara tidak langsung merapatkan ukhuwah sesama mereka. Bayangkan, mereka dapat bergelak ketawa dan akhirnya membolehkan kesejahteraan rakyat dapat sama-sama dinikmati oleh penduduk.

Keempat – Di sini, timbulnya pelbagai jenis perniagaan kecil khas untuk golongan yang tidak mampu memiliki atau pergi ke tempat-tempat yang mahal. Maka, sudah pastilah sedikit sebanyak mengerakkan ekonomi kecil-kecilan sesama mereka

Kelima – Ianya lama kelamaan menjarakkan jurang antara yang miskin dan yang kaya. Yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan tetap miskin dan mereka yang tidak terlibat dalam sistem kapatalis ini mungkin akan terbiar dan akhirnya dinafikan hak mereka.

Keenam – Kewujudan kroni-kroni untuk mendapatkan wang kerajaan untuk dinikmati oleh golongan yang memerintah sahaja menyebabkan sistem pusingan wang tidak dapat disalurkan kepada rakyat yang berhak mendapatkannya. Yang mempunyai kuasa pemerintahan dapat mengawal wang mengikut kehendak mereka dan akhirnya sebahagian kecil sahaja yang dapat habuan wang negara untuk kepentingan syarikat mereka.

Ketujuh – Sistem ini juga akan memakan diri akhirnya, kewujudan persatuan-persatuan sekerja menyebabkan mereka yang berada di atas tidak senang duduk pada masa hadapan kerana sistem kapatalis ini jelas tidak adil dalam membahagikan harta-harta dan juga wang yang diperoleh untuk kepentingan pekerja dan rakyat. Gaji mereka kecil dan tidak dinaikkan dan akhirnya hanya golongan atasan yang tamak menguasai hasil bumi ini sahaja dengan bangganya mendapat habuan mereka.

Kelapan – Seperti yang saya katakan tadi, jika mereka yang tidak terlibat dalam sistem kapatalis ini akan ditindas dan akhirnya hidup dalam kesusahan. Pada mulanya mereka mungkin bekerja dan jika mereka tidak bekerja mereka tidak akan mempunyai wang kerana tiada modal untuk memulakan perniagaan dan sebagainya. Syarikat-syarikat hebat dapat meminjam berjuta-juta tanpa penjamin kerajaan tetapi yang kecil terpaksa berhempas pulas mengumpul wang untuk meminjam wang sedangkan mereka memang berniat untuk berniaga.

Sistem keuntungan sebelah pihak ini sememangnya akan menjerat diri pada akhirnya, walaupun ternampak seperti bagus pada awalnya tetapi akibat terlalu percaya dengan sistem kapatalis barat yang menguntungkan, maka ramai tidak tahu bawah sistem ekonomi Islam lebih baik dari sistem kapatalis barat ini. Sistem perniagaan Islam yang tidak menggunakan riba dan juga menggalakan keuntungan di akhirat semata-mata jauh lebih baik berbanding sistem kapatalis barat ini.

 

Jumaat November 18, 2011 3.25 petang

Assalammualaikum,

Pada hari ini, saya ingin berkongsi sedikit mengenai apa yang saya dapat di Masjid FRIM di Kepong dan kuliah di

Menurut Khatib, sebahagian masyarakat Islam terpengaruh dengan kisah penjajahan barat di minda mereka. Manakan tidaknya, buku sejarah kita banyak memuatkan sejarah berkaitan kebaratan yang kononnya untuk mewujudkan rasa bersyukur untuk merdeka sedangkan hakikatnya, masyarakat kita sebahagiannya pada hari ini masih lagi dibelenggu penjajahan minda oleh barat. Segala rekaan-rekaan barat diagungkan sedangkan terdapat pelbagai ilmuan Islam pada masa silam tidak diketahui oleh masyarakat Malaysia atau masyarakat Islam pada hari ini.

Mengapa terjadinya sedemikian? Sepatutnya dalam apa juga pelajaran, perlu diterapkan unsur-unsur keislaman di dalamnya. Sepatutnya masyarakat Islam patut berbangga dengan pencapaian ilmuan-ilmuan Islam pada masa silam yang bukan sahaja hebat dari segi ilmu-ilmu dunia bahkan mereka beriman dan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran serta hadis pada zaman mereka. Mereka merupakan pembacaan Al-Quran yang bagus pada zaman mereka dan periwayat hadis-hadis Rasulullah S.A.W.

Matapelajaran-matapelajaran yang kita ada pada hari ini harus diterapkan unsur-unsur keislaman di dalamnya. Dalam pengajaran, sepatutnya semua murid berbangga dengan ilmu yang mereka ada dapat dikongsi bersama dan seterusnya menggalakkan pemikiran berasaskan Islam.

Selain itu, keruntuhan akhlak yang berlaku juga berpunca daripada keengganan pemerintah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam. Bayangkan, pada zaman Nabi Nuh contohnya, Baginda dengan sendiri membina kapal tanpa langsung merungut untuk membina kapal tersebut berseorangan. Nabi Ibrahim A.S. juga menurut  perintah Allah agar menyembelihkan anaknya Nabi Ismail A.S. Adakah mereka menubuhkan suruhanjaya terlebih dahulu untuk menyiasat perintah Allah tersebut? Sebaliknya, Nabi Ibrahim A.S. menyampaikan mimpi tersebut kepada anaknya untuk difahami oleh anaknya itu dan anaknya juga faham. Tetapi sebaliknya yang berlaku pada hari ini adalah keengganan pemimpin Islam kita untuk mengikut jejak langkah para nabi. Sedangkan perkara dan hukum Allah ini tidak boleh ditangguh kerana ianya sudah diperintahkan oleh Allah dari dahulu lagi.

Setiap umat Islam wajib menanamkan dalam hati untuk menegakkan hukum hudud atau Hukum Allah.

Selain itu, kefahaman yang salah juga berpunca daripada sikap takbur manusia yang mengatakan Allah S.W.T. itu faham kehendak manusia. Sebagai contoh, jika kesesakan jalan raya menjadi punca solat asar lambat, mengapa tidak disolatnya asar terlebih dahulu atau tunggu mahgrib terlebih dahulu kemudian baru balik. Ini tidak, ada yang berniat membuat peraturan seperti menghimpunkan semua waktu pada waktu Subuh dan dengan sebab itu tidak perlu solat lagi dari siang ke malam. Dan ada juga yang mahu membuat peraturan seperti ingin mengerjakan puasa di malam hari kerana sibuk bekerja di siang hari. Ini semua merupakan contoh-contoh sebahagian masyarakat yang terlalu sibuk dengan hal dunia sehingga sanggup membelakangkan hukum Allah dan mempermainkan serta mempersendakan hukum Allah dengan alasan sibuk mencari harta.

Sedangkan harta dan rezeki itu Allah yang kurniakan. Setiap nafas yang kita bernafas ini juga dikurniakan oleh Allah dan merupakan antara nikmat dan rahmat yang terhebat.

Saya berpendapat, setiap manusia perlu bermuhasabah diri kembali. Kekayaan yang digunakan itu boleh merugikan diri sendiri.

Contoh yang lain juga adalah bab bertudung. Tiada penangguhan diperlukan kerana hukum Allah itu perlu dilaksanakan dengan segera. Senang sahaja, beli tudung dan pakai terus. Tiada sebab. Tiada pertikaian. Alasan seperti belum sampai masanya dan lain-lain lagi adalah disebabkan sifat takbur dan tamak terhadap dunia. Sedangkan Allah itu tuhan kita dan sanggup mengatakan sebegitu kepada tuhan yang menjadikan kita. Bayangkan Allah menjadikan anda tidak dilahirkan ke dunia ini? Dibesarkan dalam kehidupan yang tidak kena dan lain-lain lagi.

Sepatutnya kita perlu bersyukur dengan kehidupan yang kita ada sekarang. Walaupun mungkin perit kerana dibesarkan dalam kehidupan serba kekurangan sebagai contoh, ianya merupakan ujian kepada kita. Kaya atau miskin, itu ujian kepada kita. Kita semua pasti mati, tidak kisah anda kaya atau miskin. Tidak berguna jika anda kaya di dunia tetapi miskin amalan di akhirat. Bahkan lebih teruk lagi jika anda miskin di dunia dan juga miskin amalan di akhirat.

Nasihat saya kepada diri saya sendiri dan orang di luar sana, Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan mengingatkan antara satu sama lain. Sentiasa penuhkan diri dengan amalan-amalan keagamaan dan ingatlah, dunia ini tidak kekal dan kehidupan juga tidak kekal. Tidak berguna dengki mendengki antara satu sama lain kerana kelak destinasi juga sama. Yang membezakannya, perkara baik akan dimuliakan oleh Allah berbanding perkara jahat. Walaupun anda bangga menfitnah seseorang, tetapi ingatlah, perkara jahat tersebut pasti mendatangkan keburukan diakhirat kelak. Maka doakan kita semua dijauhkan dari membuat fitnah atau terkena fitnah. Amin

november 18, 2011 – 3.47 pm – jumaat

 

Hadir ke Forum : The Future Of Humankind In Space

Assalammualaikum,

Saya berpeluang menghadiri forum ini yang bertempat di Planetarium Negara, Kuala Lumpur.

Walaupun bermula dengan agak lewat iaitu pada pukul 3.00 petang dan tamat pada 4.45 petang. Namun sambutan agak menggalakkan dan saya rasa bangga dapat memasuki Planetarium Negara buat pertama kalinya.

Antara intipati-intipati yang saya peroleh adalah:-

– Bumi ini adalah suatu tempat terbaik berbanding di angkasa lepas, walaupun kita boleh “adapt” keadaan kita di angkasa lepas. Tetapi ianya sebenarnya membawa suatu kehilangan yang besar kepada kita. Bayangkan berbanding planet-planet lain, Bumi ini satu-satunya yang dapat didiami dengan penuh kesegaran dan juga keindahan alam semula jadi.

– Apabila mereka melihat bumi dari jauh, terasa takjub dengan keindahan bumi ciptaan Allah ini. Bayangkan, bumi yang kerdil dan berseorangan di angkasa ini, dipenuhi oleh manusia seperti kita dan objek-objek hidup yang lain. Sesungguhnya, jagalah bumi ini dengan baik dan manfaatkannya.

– Walaupun Space Colony mungkin dapat dicapai dalam tempoh 50 ke 100 tahun lagi, tetapi ianya tidak sama seperti mendiami di bumi. Bayangkan, dengan terpaksa memakai pakaian khas dan tidak dapat dipastikan oksigen dapat digunakan di Planet Marikh atau tidak.

– Sheikh Muzafar juga mengatakan, apabila sebaik sahaja tiba di bumi, badan beliau tidak dapat digerakkan sekalipun bahkan terpaksa dipapah kerana perbezaan graviti. Bayangkan graviti menyebabkan beliau sendiri tidak dapat mengagak hendak berpijak di siling atau dilantai kerana terbiasa selama 10 hari lebih disana. Ini belum selama 6 bulan lagi. Menunjukkan, bumi ini lebih bagus dan memberi kita kekuatan yang hebat berbanding di luar sana.

Pendek kata, saya terharu juga dengan kata-kata mereka yang menyayangi bumi ini. Walaupun angkasa lepas itu suatu masa depan yang gemilang, tetapi keseimbangan antara bumi dan kajian penyelidikan perlu dilaksanakan. Kajian di angkasa lepas untuk manfaat di dunia ini.

Berikut adalah gambar-gambar sewaktu di Planetarium Negara

Al-Quran yang dibawah ke Angkasa Lepas

Antara beberapa barangan yang dibawa ke angkasa lepas oleh Sheikh Muzafar Shukor

Sebelum ketibaan angkasawan-angkasawan

Ketibaan angkasawan-angkasawan (maaf ya diambil dari jarak jauh juga dan kamera ini paling maks fokus)

Sekian, forum ini membawa banyak manfaat sebenarnya.