Jumaat November 18, 2011 3.25 petang

Assalammualaikum,

Pada hari ini, saya ingin berkongsi sedikit mengenai apa yang saya dapat di Masjid FRIM di Kepong dan kuliah di

Menurut Khatib, sebahagian masyarakat Islam terpengaruh dengan kisah penjajahan barat di minda mereka. Manakan tidaknya, buku sejarah kita banyak memuatkan sejarah berkaitan kebaratan yang kononnya untuk mewujudkan rasa bersyukur untuk merdeka sedangkan hakikatnya, masyarakat kita sebahagiannya pada hari ini masih lagi dibelenggu penjajahan minda oleh barat. Segala rekaan-rekaan barat diagungkan sedangkan terdapat pelbagai ilmuan Islam pada masa silam tidak diketahui oleh masyarakat Malaysia atau masyarakat Islam pada hari ini.

Mengapa terjadinya sedemikian? Sepatutnya dalam apa juga pelajaran, perlu diterapkan unsur-unsur keislaman di dalamnya. Sepatutnya masyarakat Islam patut berbangga dengan pencapaian ilmuan-ilmuan Islam pada masa silam yang bukan sahaja hebat dari segi ilmu-ilmu dunia bahkan mereka beriman dan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran serta hadis pada zaman mereka. Mereka merupakan pembacaan Al-Quran yang bagus pada zaman mereka dan periwayat hadis-hadis Rasulullah S.A.W.

Matapelajaran-matapelajaran yang kita ada pada hari ini harus diterapkan unsur-unsur keislaman di dalamnya. Dalam pengajaran, sepatutnya semua murid berbangga dengan ilmu yang mereka ada dapat dikongsi bersama dan seterusnya menggalakkan pemikiran berasaskan Islam.

Selain itu, keruntuhan akhlak yang berlaku juga berpunca daripada keengganan pemerintah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam. Bayangkan, pada zaman Nabi Nuh contohnya, Baginda dengan sendiri membina kapal tanpa langsung merungut untuk membina kapal tersebut berseorangan. Nabi Ibrahim A.S. juga menurut  perintah Allah agar menyembelihkan anaknya Nabi Ismail A.S. Adakah mereka menubuhkan suruhanjaya terlebih dahulu untuk menyiasat perintah Allah tersebut? Sebaliknya, Nabi Ibrahim A.S. menyampaikan mimpi tersebut kepada anaknya untuk difahami oleh anaknya itu dan anaknya juga faham. Tetapi sebaliknya yang berlaku pada hari ini adalah keengganan pemimpin Islam kita untuk mengikut jejak langkah para nabi. Sedangkan perkara dan hukum Allah ini tidak boleh ditangguh kerana ianya sudah diperintahkan oleh Allah dari dahulu lagi.

Setiap umat Islam wajib menanamkan dalam hati untuk menegakkan hukum hudud atau Hukum Allah.

Selain itu, kefahaman yang salah juga berpunca daripada sikap takbur manusia yang mengatakan Allah S.W.T. itu faham kehendak manusia. Sebagai contoh, jika kesesakan jalan raya menjadi punca solat asar lambat, mengapa tidak disolatnya asar terlebih dahulu atau tunggu mahgrib terlebih dahulu kemudian baru balik. Ini tidak, ada yang berniat membuat peraturan seperti menghimpunkan semua waktu pada waktu Subuh dan dengan sebab itu tidak perlu solat lagi dari siang ke malam. Dan ada juga yang mahu membuat peraturan seperti ingin mengerjakan puasa di malam hari kerana sibuk bekerja di siang hari. Ini semua merupakan contoh-contoh sebahagian masyarakat yang terlalu sibuk dengan hal dunia sehingga sanggup membelakangkan hukum Allah dan mempermainkan serta mempersendakan hukum Allah dengan alasan sibuk mencari harta.

Sedangkan harta dan rezeki itu Allah yang kurniakan. Setiap nafas yang kita bernafas ini juga dikurniakan oleh Allah dan merupakan antara nikmat dan rahmat yang terhebat.

Saya berpendapat, setiap manusia perlu bermuhasabah diri kembali. Kekayaan yang digunakan itu boleh merugikan diri sendiri.

Contoh yang lain juga adalah bab bertudung. Tiada penangguhan diperlukan kerana hukum Allah itu perlu dilaksanakan dengan segera. Senang sahaja, beli tudung dan pakai terus. Tiada sebab. Tiada pertikaian. Alasan seperti belum sampai masanya dan lain-lain lagi adalah disebabkan sifat takbur dan tamak terhadap dunia. Sedangkan Allah itu tuhan kita dan sanggup mengatakan sebegitu kepada tuhan yang menjadikan kita. Bayangkan Allah menjadikan anda tidak dilahirkan ke dunia ini? Dibesarkan dalam kehidupan yang tidak kena dan lain-lain lagi.

Sepatutnya kita perlu bersyukur dengan kehidupan yang kita ada sekarang. Walaupun mungkin perit kerana dibesarkan dalam kehidupan serba kekurangan sebagai contoh, ianya merupakan ujian kepada kita. Kaya atau miskin, itu ujian kepada kita. Kita semua pasti mati, tidak kisah anda kaya atau miskin. Tidak berguna jika anda kaya di dunia tetapi miskin amalan di akhirat. Bahkan lebih teruk lagi jika anda miskin di dunia dan juga miskin amalan di akhirat.

Nasihat saya kepada diri saya sendiri dan orang di luar sana, Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan mengingatkan antara satu sama lain. Sentiasa penuhkan diri dengan amalan-amalan keagamaan dan ingatlah, dunia ini tidak kekal dan kehidupan juga tidak kekal. Tidak berguna dengki mendengki antara satu sama lain kerana kelak destinasi juga sama. Yang membezakannya, perkara baik akan dimuliakan oleh Allah berbanding perkara jahat. Walaupun anda bangga menfitnah seseorang, tetapi ingatlah, perkara jahat tersebut pasti mendatangkan keburukan diakhirat kelak. Maka doakan kita semua dijauhkan dari membuat fitnah atau terkena fitnah. Amin

november 18, 2011 – 3.47 pm – jumaat

 

Published by razorjr

Research and Academician

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: