Assalammualaikum,
Alhamdulillah, setelah pelbagai ceramah agama saya dengari baru-baru ini di Youtube, saya dapat meluaskan pemikiran saya dan juga menambah ilmu saya berkaitan agama. Sememangnya ianya menjadi wajib kepada saya kerana saya sebagai ketua keluarga kepada isteri dan anak yang akan lahir kelak, semestinya saya diwajibkan mempunyai kebolehan untuk mendidik isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah.
Intipati-intipati yang penting termasuklah soal aurat dalam keluarga. Antara suami dan isteri tiada auratnya. Mereka bebas untuk tidak berpakaian tetapi apabila didepan anak-anak, adalah dari pusat ke lutut. Jadi anda lihat kembali, adakah anda yakin anda tutup aurat sedangkan di rumah anda biarkan diri anda berseluar pendek atas lutut dan anak-anak melihatnya? itu adalah salah dan berdosa. Maka perbaikilah kembali dan perbaharui kehidupan anda. Begitu juga antara anak-anak, aurat mereka pusat ke lutut, maka seeloknya dianjurkan agar mereka berpakaian sopan walaupun dirumah. Pakai pakaian seperti baju dan seluar yang elok. Tidak perlu tudung kerana antara keluarga tidak mengapa. Tetapi antara sanak-saudara ada aurat lain pula yang perlu dipelajari dan saya sendiri tengah belajar. InsyaAllah.
Perkara kedua adalah berkaitan soal rezeki. Sebagai contoh, semasa muda kita dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dan penuh nikmat. Kita dapat makan pelbagai makanan dan tidak mengawal permakanan dan kesihatan kita. Merokok mungkin dihisap oleh sesetengah individu. Tetapi apabila dewasa, rezeki yang banyak pun tidak berguna. Kerana terlalu banyak pantang larang dan perkara yang tidak boleh dibuat. Bayangkan, daging kambing tidak boleh makan terlalu banyak kerana akan mengakibatkan darah tinggi. Penyakit kencing manis dan jantung. Saya menganjurkan kepada anda semua dan diri saya sendiri agar bersenam. Bersenamlah dan kawal permakanan. Jantung merupakan enjin utama badan kita. Saya sendiri kagum di sebuah Taman Botanikal tempat saya bersenam. Ada seorang pakcik yang berusia saya rasa lingkungan 50 ke 60 tahun mampu berlari/berjogging sejauh hampir 10 kilometer (atau lebih mungkin) di usia sedemikian. Tetapi anda yang mungkin berumur 50 ke 60 tahun nanti, adakah mampu berlari atau berjogging sejauh seperti itu dan cergas?
Selain itu, masuklah ahli persatuan di luar sana kerana kelak anda memerlukan teman diusia tua. Jika anda asyik sibuk dan langsung tidak mengenal jiran secara mendalam mengakibatkan hubungan antara jiran menjadi hambar dan akibatnya masyarakat akan berpecah belah. Paling tidak, masuk setiap aktiviti yang dianjurkan oleh taman tempat anda duduk dan tunjukkan muka anda. Tidak perlu bersombong kerana sombong itu kelak akan memakan diri.
Permasalahan yang berlaku kepada diri anda juga disebabkan mungkin diri anda sendiri. Tidak perlu anda berbohong kepada isteri anda dan anak-anak anda kerana kelak mereka akan membohongi anda pula (anak-anak). Jaga perilaku diri dan menyebut sebutan yang baik-baik. Ini tidak, didalam kereta kita banyak kali berkata-kata yang bukan sebagai contoh “Bodoh, kenapa slow sangat kereta depan ini”. Maka cakaplah dengan baik “Subhanallah, kenapalah kereta depan ini tidak berganjak dari lane laju ini”. Sentiasa penuhkan diri dengan senyuman dan berfikir baik.
Semasa bekerja pula, sentiasa ingat yang anda bekerja untuk keluarga anda. Apa-apa pun, utamakan keluarga anda. Tidak guna anda mempunyai rezeki yang banyak tetapi banyak masa bersama keluarga tidak dapat diluangkan bersama. Jadi, manfaatkan cuti yang diberikan dan bawaklah keluarga bercuti setiap tahun dan melakukan aktiviti bersama keluarga sekerap yang mungkin. Anda mampu mengubahnya.
Akhir kata, sentiasalah kita mempertingkatkan kebolehan diri kita sendiri. Kita perlu selalu menambah gol di dalam diri ini. Masa bermain bola sepak adalah 90 minit contohnya, jangan pula berpuas hati dengan gol yang diperoleh pada 80 minit yang lepas. Bahkan, selepas 90 minit akan ada perlawanan yang seterusnya. Maka, kita perlu lebih bagus dari diri kita sebelumnya dan generasi baru perlu lebih bagus dari generasi kita. Tingkatkan usaha anda dalam memperbaiki diri.
Waallahualam.
Disember 03, 2011 – 6.12 pagi – sabtu