Berikut merupakan data2 penting COVID19 setakat 25 Jun 2020
Semua gambar di bawah adalah credit kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau MOH Malaysia.

UCAPAN PENUH KP KESIHATAN
100 HARI PASCA PKP DIKUATKUASAKAN: KE ARAH KEHIDUPAN NORMAL DENGAN NORMAL BAHARU
Pada 16 Mac 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344), iaitu mulai berkuatkuasa pada 18 Mac 2020. Ketika itu jumlah kes positif COVID-19 telah mencecah 790 kes dengan dua (2) kematian pertama dicatatkan pada 17 Mac 2020.
Hari ini, 25 Jun 2020 adalah merupakan hari ke-100 sejak PKP dikuatkuasakan. PKP kemudiannya telah berlanjut sebanyak 4 fasa, diikuti dengan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.
Tindakan drastik tersebut diambil Kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai serta menutup pintu masuk antarabangsa untuk mengelakkan jangkitan dibawa masuk ke dalam negara ini. Ini diharap dapat memberi ruang kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti kesihatan awam, makmal, klinik kesihatan dan hospital dan seterusnya meratakan lengkung (flatten the curve) graf kes COVID-19. Pada 18 Mac 2020, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi RT-PCR adalah hanya 6,210 ujian. Selain itu, jumlah katil di hospital dan fasiliti bersesuaian, katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat pernafasan khusus untuk COVID-19 adalah masing-masing 4,433 buah katil, 273 buah katil dan 626 buah mesin.
Dalam tempoh PKP, KKM juga telah meningkatkan pendekatan agresif di lapangan untuk terus mengesan, menguji, mengasingkan, merawat kes-kes COVID-19 di hospital. Kemuncak jumlah kes aktif bagi COVID-19 semasa fasa-fasa PKP adalah pada 5 April 2020 di mana terdapat 2,596 kes aktif, dengan jumlah keseluruhan kematian adalah 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Pada penghujung fasa ke-empat PKP pada 12 Mei 2020, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi PCR meningkat kepada 27,233 ujian (kenaikan empat kali ganda), manakala jumlah katil di hospital, ICU dan alat pernafasan khusus untuk COVID-19 adalah masing-masing 8,794 buah katil (dua kali ganda), 438 katil (1.6 kali ganda) dan 1,097 buah mesin (1.75 kali ganda). Jumlah kes aktif adalah 2,596 kes dan peratus kematian adalah 1.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Pada hari ini iaitu hari ke-100 sejak PKP dikuatkuasakan, negara telah mempunyai kebolehan menjalankan 36,812 ujian makmal RT-PCR (enam kali ganda berbanding sebelum PKP). KKM juga masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk COVID-19. Walaupun terdapat 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit COVID-19, kini ianya telah mula digunakan untuk pesakit-pesakit kes lain. Begitu juga dengan mesin-mesin ventilator memandangkan hanya terdapat 2 kes COVID-19 yang menggunakan ventilator. Jumlah kes aktif kini telah menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan.
Kejayaan meratakan lengkung graf kes COVID-19 dan juga mengurangkan penularan kes COVID-19 di dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak, termasuk komuniti dan masyarakat. Kini, bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan ini, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar iaitu dengan mematuhi sepenuhnya segala nasihat yang diberi dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Malaysia harus bersedia ke arah kehidupan normal dengan normal yang baharu. Patuhilah SOP dan bantulah Kerajaan dalam membantu kita semua. Kita perlu terus jaga kita, jaga keluarga kita, jaga komuniti dan masyarakat kita, dan jaga Negara kita.